Tuesday, December 28, 2010

Permulaan yang baru

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Harap semua sihat belaka. Saya telah memulakan blog ini dengan hanya satu misi; dengan hanya menyatakan apa yang benar supaya saya sendiri dan anak-anak Melayu yang lain dapat memperoleh sedikit sebanyak ilmu yang akan dikongsi bersama. Antara yang saya akan kongsi bersama adalah berkenaan agama, bangsa, negara dan juga isu-isu lain yang relevan dengan kehidupan dan perjalanan seorang anak Melayu yang beragama Islam. Walaupun saya, bak kata ayah saya, masih merah lagi dalam melakukan perkara sebegini, saya juga sedang belajar dan berharap dapat membantu rakan-rakan yang lain.

Pertama sekali, saya bersyukur kepada Allah s.w.t kerana memberikan saya sebuah keluarga yang menakjubkan. Orang putih katakannya sebagai "the best". Allah telah kurniakan saya dengan keluarga yang mempunyai asas agama yang teguh, semangat kekitaan yang kuat dan sentiasa bertolak ansur antara satu sama lain. Dengan nikmat ini, saya dapat melihat apa yang lain tidak berpeluang. Oleh itu, saya cuba kongsi bersama apa yang saya dapat pelajari dengan semua anak bangsa yang lain supaya kita semua sedar bahawa kita bukan tidak boleh, cuma tidak cuba sahaja.

Keduanya, saya ingin terangkan modus operandi blog ini. Saya akan cuba selitkan sebarang isu semasa yang saya rasa sebagai satu isu yang relevan. Walau bagaimanapun, segala isu yang saya akan post dalam blog ini adalah penting dan relevan. Pada masa tertentu, saya juga akan menggunakan bahasa Inggeris kerana untuk menjadi anak bangsa berjaya, kita perlu bersaing di persada dunia. Dan untuk bersaing di persada dunia, kita perlulah berkomunikasi menggunakan "the world's language". Dan harapan saya adalah untuk menggunakan bahasa Arab dalam blog ini pada suatu hari nanti. Saya hanya akan menyatakan yang benar dan sesiapa yang membaca blog ini juga perlu melakukan perkara yang sama. Sesiapa yang mahu bersuara dialu-alukan agar kita semua dapat belajar daripadanya. Terima kasih.


Macam karangan BM pulak ye? Biarlah formal sikit. Kalau bukan kita, siapa lagi?

No comments:

Post a Comment